1. Apa yang akan saya katakan ini berkait dengan ilmu Nahwu secara khusus, bukan bahasa Arab secara umum. Jangan salah faham ya. 😊
2. Mula-mula fokus kepada kitab-kitab asas ilmu Nahu seperti matan al-Ajurrumiyyah. Berikan tumpuan sebaik mungkin kepada kandungan asalnya. Jangan terpesona lagi buat masa ini dengan kitab-kitab syarah yang atau hasyiah. Benar, ianya sarat dengan maklumat tapi belum lagi masanya.
3. Lalui dan tekuni semua tajuk-tajuk dengan penerangan ringkas yang terdapat dalam matan al-Aljurrumiyyah itu sepintas lalu. Kemudian ulang sekali lagi dari bab pertama matan al-Aljurrumiyyah dengan bantuan kitab huraian mudah seperti التحفة السنية. Bila dah habis, ulang sekali lagi dari bab pertama berpandukan syarah-syarah sederhana seperti syarah خالد الأزهري sampai habis.
4. Kemudian cuba tengok شرح الكفراوي. Boleh faham tak i’rab-i’rab yang dikemukakan beliau. Jika dah faham, beralih pula kepada متممة الآجرومية dan الكواكب. Ambil masa dan habiskan bacaan kitab-kitab ini. Di samping itu baca lah kitab-kitab seperti المقدمة الأزهرية oleh Khalid al-Azhari dan syarah-syarahnya. Peringkat ini lebih kepada ulangkaji sahaja terhadap apa yang dilalui sebelum ini.
5. Antara syarah mendalam dan mudah untuk matan al-Ajurrumiyyah ini adalah شرح السنهوري. Dalam banyak-banyak kitab Nahu yang dibaca di peringkat ini, jangan tinggal syarah السنهوري ini.
6. Kemudian beralih pula ke peringkat seterusnya, iaitu قطر الندى karangan Ibn Hisyam dan seterusnya شذور الذهب. Kedua-duanya dikarang oleh Ibn Hisyam dan turut disyarah oleh beliau sendiri. Baca dengan bantuan guru dan syarah2 yang ada. Pastikan semua tajuk-tajuk dalam القطر dan الشذور ini diingati dengan baik dan tergambar jelas dalam fikiran.
7. Kemudian beralih pula kepada matan Alfiyah Ibn Malik. Belajar dan baca syarah-syarah yang menghuraikannya seperti شرح الأشموني, أوضح المسالك لابن هشام, شرح ابن عقيل dan lain-lain. Jangan terlepas kitab شرح الشاطبي, ia adalah huraian Alfiyah paling besar. 
Syarah Alfiyah banyak, tapi paling mustahak adalah habiskan satu syarah. Saya cadangkan شرح الأشموني. Kalau nak susunan teratur dan pembahagian yang kemas, anda boleh berikan tumpuan kepada شرح ابن عقيل.
Ambil peluang di peringkat ini untuk menbaca dengan tekun kitab النحو الوافي oleh Abas hassan. Kitab ini disusun mengikut urutan tajuk matan Alfiyah. Kitab ini sangat penting kerana ia akan membuatkan anda mengulangkaji semua berbahasan Nahu di peringkat Alfiyah. Di samping tu telaahlah kitab2 seperti مغني اللبيب, الجنى الداني dll. Ini sangat digalakkan.
8. Peringkat seterusnya adalah تسهيل الفوائد oleh Ibn Malik dan syarahnya oleh beliau juga. Ini setelah peringkat Alfiyah Ibn Malik. Ketika ini secara terperinci kita akan dibawa untuk melayari perbahasan “mengapa begini dan mengapa bukan begitu”, perbahasan khilaf, membentangkan hujahan, menyangkal dsb.
Lihat juga syarah التذييل والتكميل oleh Abu Hayyan. Walaupun Abu Hayyan dalam banyak tempat agak kasar dan keterlaluan dengan Ibn Malik, ketepikan perkara ini. Tumpu pada perbincangan dan hujahan beliau. Abu Hayyan adalah Abu Hayyan seperti yang kita dapat lihat di dalam البحر المحيط dan النهر الماد bagaimana beliau begitu keras dengan الزمخشري. 😊
Baca sekali dengan همع الهوامع oleh al-Sayuti. Ini praktikal Nahu dan sarat dengan maklumat lautan ilmu Nahu merentasi segala-galanya tentang Nahu.
9. Dalam tempoh ini, berkenalanlah dengan sebanyak mungkin ulamak-ulamak Nahu silam dan karya-karya mereka termasuk gergasi-gergasi Nahu seperti Sibawaih, al-Farra’ dan lain-lain yang datang selepasnya. Berkenalanlah dengan al-Zamakhsyari menerusi المفصل dan syarahnya شرح ابن يعيش.
Berkenalanlah dengan ابن الحاجب dan rasai pula Nahu melalui disiplin Mantiq. Berkenalan dengan عبد القاهر الجرجاني dan kitab Nahu beliau. Terlalu ramai jika hendak disebut, seperti ابن عصفور, الزجاجي dll.
10. Walaupun tidak banyak maklumat baru yang kita akan perolehi daripada kitab-kitab selepas شرح التسهيل ibn Malik dalam perkara 8 di atas, namun kita tetap akan dapat manfaat-manfaat lain seperti cara susun, pembahagian, pemilihan keutamaan, istilah, sudut pandang yang berbeza, teka-teki Nahu dsb.
11. Akhir kata saya nasihatkan rakan-rakan supaya bijak dalam memilih keutamaan. Jangan tumpu soal khilaf di peringkat awal, jangan terlalu asyik dengan perbahasan falsafah Nahu, mazhab, tokoh, sejarah dll sampai tajuk yang terdapat dalam Matan Alajurrumiyyah pun masih ada yang ingat-ingat lupa.