Fatwapedia.com – Data hilal yang dihisab (hitung) sentiasa dirujuk semasa menentukan tarikh baharu dalam sesuatu bulan hijri. Data hilal pada setiap tarikh 29 haribulan hijri dianalisa untuk mengetahui samada ia memenuhi syarat Kriteria Imkanur-Rukyah atau sebaliknya yang menentukan jumlah hari dalam bulan tersebut hanya 29 hari atau 30 hari. Bagi penentuan tarikh baharu tiga bulan utama yang melibatkan ibadah besar iaitu bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah akan ditentukan melalui kedua-dua kaedah hitungan (hisab) dan cerapan hilal (rukyah).
Kriteria Imkanur-Rukyah merupakan satu kriteria yang digunakan sebagai asas yang menggambarkan ciri hilal yang dianggap boleh dilihat dengan mata kasar atau bantuan alat optik. Kriteria yang digunakan adalah melibatkan dua elemen iaitu tinggi hilal dan jarak lengkung antara hilal dengan matahari semasa waktu maghrib (matahari terbenam). Syarat minima hilal boleh kelihatan menurut kriteria ini mestilah di ketika matahari telah terbenam kedua-dua syarat mestilah dipenuhi iaitu tinggi hilal di atas ufuk tidak kurang dari 3° dan jarak lengkung antara matahari dan bulan tidak kurang dari 6.4° (6° 24’).
Pemahaman masyarakat terhadap data hilal adalah penting supaya dapat mendapat gambaran potensi hilal kelihatan atau sebaliknya terutama melibatkan tiga bulan utama semasa cerapan hilal dilakukan. Pengetahuan ini boleh dijadikan panduan kepada orang awam untuk memahami samada hilal bagi sesuatu bulan itu berada pada tahap mustahil boleh dilihat atau sukar dilihat atau mudah kelihatan. Gambaran tersebut dapat difahami dengan mengetahui beberapa ciri antaranya seperti berikut:
a) ketinggian hilal di atas ufuk;
b) jarak antara hilal dengan matahari;
c) umur hilal dari berlaku ijtimak sehingga hilal terbenam;
d) tempoh hilal berada di atas ufuk; dan
e) sejauh mana data hilal tersebut menghampiri kriteria imkanur-rukyah.
Hilal yang mempunyai ciri-ciri kritikal hampir memenuhi syarat minima Kriteria Imkanur-Rukyah sering mendapat perhatian pencerap kerana menjadi cabaran dan harapan kemungkinan hilal dapat dilihat sekaligus menjadi satu pencapaian rekod baharu dalam cerapan hilal untuk digunakan dalam penilaian saintifik bagi tujuan penambahbaikan Kriteria Imkanur-Rukyah jangka masa panjang di masa hadapan. Dalam keadaan dimana hilal yang berada di bawah Kriteria Imkanur-Rukyah berjaya dilihat, ia akan memberi kesan kepada perubahan tarikh bulan baharu berbeza dengan kalender hijri yang telah diterbitkan sebagaimana berlaku pada bulan Syawal tahun 2022.
Analisa data hilal Syawal tahun 2022 menunjukkan bahawa tinggi hilal 5° 27’ adalah berada jauh melebihi syarat minima (3°). Manakala jarak lengkung hilal ke matahari adalah 5° 57’ yang hampir memenuhi syarat minima (6° 24’). Hasil cerapan mendapati bahawa hilal Syawal 2022 telah berjaya dilihat dan penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun 2022 adalah lebih awal sehari berbanding tarikh yang telah ditetapkan di dalam kalender.
Analisa data hilal Syawal tahun 2023 menunjukkan bahawa tinggi hilal adalah 2° 18’ berada di bawah kriteria minima (3°), manakala jarak lengkung hanyalah 2° 41’ sahaja berada jauh di bawah kriteria minima (6° 24’). Data ini menggambarkan hilal berada pada posisi sukar dilihat kerana jauh di bawah syarat minima. Walau bagaimanapun sebagai umat islam yang beriman adalah wajib mengimani bahawa segala ketentuan adalah di atas kehendak Allah SWT. Telah menjadi ketetapan di negara ini bahawa cerapan hilal rasmi dijalankan pada 29 haribulan hijri bagi tiga bulan utama dan sekiranya hilal kelihatan maka keesokannya ditetapkan sebagai 1 haribulan bulan baharu sebaliknya jika tidak kelihatan maka keesokan harinya adalah dilanjutkan kepada 30 haribulan.
Kebelakangan ini terdapat maklumat telah tersebar di media sosial berkenaan tarikh hari raya tahun 2023 adalah lebih awal berbanding kalender sehingga masyarakat tertanya-tanya serta meinimbulkan kegusaran sesetengah pihak. Justeru orang awam dinasihatkan agar berhati-hati dalam membuat kenyataan sehingga boleh menimbulkan kerunsingan dalam masyarakat. Sebaiknya adalah menyerahkan penetapan tarikh baharu bagi sesuatu bulan hijri terutama melibatkan ibadah puasa, perayaan hari raya dan hari raya korban kepada pihak berwajib setelah keputusan cerapan hilal diseluruh negara diperolehi dan pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Sumber: Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia JUPEM