Fatwapedia.com – Pemilik nama lengkap al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’-‘i (150-204H) atau lebih dikenal dengan gelar Imam al-Syafi-‘i telah banyak meninggalkan karya yang menjadi rujukan umat Islam. Ada dua peringkat penulisan al-Syafi-‘i, kitab yang beliau tulis di Makkah dan Baghdad dinamakan Qawl Qadim (pendapat lama) dan Kitab yang ditulis ketka beliau di Mesir dinamakan Qawl Jadid (pendapat baru).
Ada tiga kaedah penulisan karya atau kitab yang dinisbahkan kepada al-Syafi-‘i, iaitu;
1. Kitab yang ditulis sendiri oleh al-Syafi-‘i.
2. Kitab yang ditulis oleh murid-murid beliau berdasarkan pembacaan oleh Imam al-Syafi-‘i dihadapan mereka atau dikenali sebagai kaedah imlak (al-imla’i).
3. Kitab yang disusun oleh murid-murid al-Syafi-‘i berdasarkan syarahan atau pengajaran al-Syafi-‘i. Di mana murid-murid beliau membuat catatan atau nota ketika mendengar kuliahnya, kemudian mereka menyusun kembali catatan tersebut menjadi semua kitab.
Kaedah ini banyak dipraktikkan oleh para ulama dahulu dan sekarang. Pada zaman kini, banyak buku-buku yang diterbitkan, setelah diolah dan disusun berdasarkan kuliah atau syarahan para ulama yang terkenal, lalu dinisbahkan kandungan buku tersebut kepada mereka. Sedangkan, mereka sebenarnya tidak pernah menulis buku tersebut. Di antara kitab yang masyhur masa kini yang mengunakan kaedah ini ialah buku-buku yang dinisbahkan kepada al-Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi seperti kitab al-Fatawa dan Tafsir al-Sya’rawi, karya-karya al-Syeikh Abdul ‘Aziz bin Baz dan buku-buku yang dinisbahkan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.
Kitab beliau yang paling utama dan menjadi teras dalam mazhab as-Syafi’-‘i ialah Kitab al-Umm (Kitab Induk). Ia dinamakan sedemikian kerana boleh dikatakan semua penulisan dalam mazhab al-Syafi’-‘i berasal daripada kitab ini.
Kitab al-Umm dari satu sudut merupakan kitab fiqh terbesar dan tiada tandingan pada masanya. Kitab ini membahas berbagai persoalan lengkap dengan dalil-dalilnya, baik dari al-Qur’an, al-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas. Isi kitab ini adalah sebagai bukti keluasan ilmu al-Syafi’i dalam bidang fiqh. Sedangkan dari sudut yang lain, ia juga dianggap sebagai kitab hadits kerana dalil-dalil hadits yang ia kemukakan menggunakan jalur periwayatan tersendiri sebagaimana layaknya kitab-kitab hadits.
Di kalangan ulama terdapat keraguan dan perbezaan pendapat, mengenai penulisan kitab al-Umm, adakah ia ditulis oleh al-Syafi-‘i sendiri atau karya para muridnya. Menurut Ahmad Amin, al-Umm bukanlah karya langsung dari al-Syafi’i, namun merupakan karya muridnya yang menerima dari al-Syafi’i dengan jalan didiktekan [imlak]. Sedangkan menurut Abu Zahrah dalam al-Umm ada tulisan al-Syafi’i sendiri tetapi ada juga tulisan dari muridnya, bahkan ada pula yang berpendapat bahwa dalam al-Umm ada juga tulisan orang ketiga selain al-Syafi’i dan al-Rabi’ [muridnya]. Namun menurut riwayat yang masyhur diceritakan bahwa kitab al-Umm adalah catatan peribadi al-Syafi-‘i, kerana setiap pertanyaan yang diajukan kepadanya ditulis, dijawab dan didiktekan kepada murid-muridnya. Oleh karena itu, ada pula yang mengatakan bahwa kitab itu adalah karya dua orang muridnya iaitu Imam al-Buwaiti dan Imam al-Rabi’. Pendapat ini dikemukakan oleh Abu Thalib al-Makki.
Walau apapun pandangan ulama mengenai kaedah penyusunan kitab al-Umm ini, yang pastinya kitab ini boleh dinisbahkan al-Syafi’i kerana ia memuatkan pandangan dan pemikirannya dalam bidang hukum berdasarkan riwayat murid-muridnya yang diakui ummah sebagai perawi yang adil dan tsiqah. Sebagaimana kaedah penulisan dan penyusunan hadits Rasulullah saw, yang disusun oleh para muhaddisin berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih di sisi mereka.
Dalam menghuraikan keterangan-keterangannya, Imam al-Syafi‘i kadang-kadang memakai metod soal-jawab, dalam erti menghuraikan pendapat pihak lain yang diadukan sebagai sebuah pertanyaan, kemudian ditanggapinya dalam bentuk jawapan. Hal itu nampak umpamanya ketika ia menolak penggunaan al-istihsan. Pada kesempatan yang lain ia menggunakan metod eskplanasi dalam arti menghuraikan secara panjang lebar suatu masalah dengan memberikan penetapan hukumnya berdasarkan prinsip-prinsip yang dianutnya tanpa ada sebuah pertanyaan, hal seperti ini nampak dalam penjelasannya mengenai persoalan-persoalan pernikahan.
Dalam format kitab al-Umm yang dapat ditemui pada masa sekarang, ada juga yang dicetakkan bersama kitab-kitabnya yang lain dalam satu kitab al-Umm, di antaranya adalah:
al-Risalah, mengandungi uraian sumber hukum islam, serta kaedah-kaedah pengistinbatan hukum syarak.
Khilaf Malik, mengandungi bantahan-bantahan al-Syafi‘i terhadap beberapa pendapat gurunya Imam Malik.
al-Radd ‘Ala Muhammad ibn Hasan, mengandungi pembelaan al-Syafi‘i terhadap mazhab ulama Madinah dari serangan imam Muhammad ibn Hasan, murid Abu Hanifah.
al-Khilaf ‘Ali wa Ibn Mas’ud, iaitu kitab yang memuatkan perbezaan pendapat antara Abu Hanifah dan ulama Irak dengan Ali bin Abi Thalib dan Abdullah bin Mas’ud.
Sair al-Auza-’i, berisi pembelaannya atas imam al-Auza’i dari serangan imam Abu Yusuf.
Ikhtilaf al-Hadits, berisi keterangan dan penjelasan al-Syafi-‘i atas hadits-hadits yang tampak bertentangan. namun kitab ini juga ada yang dicetak tersendiri
Jima’ al-‘Ilmi, berisi pembelaan imam al-Syafi’i terhadap Sunnah Nabi Muhammad saw.
Kitab al-Umm ini telah diringkaskan oleh Imam al-Muzani dalam kitabnya bertajuk Mukhtasar al-Muzani. Dua abad kemudian, kitab Mukhtasar al-Muzani ini disyarahkan oleh Imam al-Haramain al-Juwaini dalam kitabnya berjudul Nihayatul Mathlab fi Dirayah al-Mazhab. Salah seorang murid al-Juwaini iaitu al-Imam al-Ghazali pula meringkaskan kitab gurunya itu lalu diberi tajuk al-Basith. Seterusnya al-Ghazali meringkasnya menjadi kitab al-Wasith, kemudian al-Wasith diringkas pula menjadi kitab al-Wajiz. Kitab al-Wajiz ini diringkas lagi menjadi kitab al-Khulashah.
Kitab al-Wajiz juga turut diringkaskan semula oleh seorang lagi ulama’ mazhab al-Syafi‘i bernama al-Rafi-‘i dalam kitabnya al-Muharrar. Selanjutnya, al-Nawawi pula meringkaskan kitab al-Muharrar dalam kitabnya Minhaj al-Thalibin, yang mana ia menjadi pegangan utama ulama Syafi‘iyyah dalam berijtihad dan berfatwa. Kitab ini seterusnya diringkaskan oleh Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari dalam kitab al-Manhaj al-Thullab dan kitab al-Manhaj pula diringkaskan oleh al-Imam al-Jauhari menjadi al-Nahj, dan al-Syaikh Zainuddin al-Malibiri dalam kitabnya Qurrah al-‘Ayn.
Bab yang disusun dalam kitab al-Umm hampir sama penempatannya dengan Minhaj al-Talibin atau syarahnya. Kitab ini dikira sebagai asas bagi rujukan ulama’ as-Syafi‘i yang muta’akhkhirin ( terkemudian ). Kitab ini mempunyai syarah (huraian) dan hawasyi (nota tepi) yang sangat banyak. Antaranya ialah Mughni al-Muhtaj oleh al-Khatib as-Syarbini, al-Minhaj wa Syarhuhu oleh Zakaria al-Anshari, Tuhfah al-Muhtaj oleh Ibnu Hajar al-Haitami, Nihayah al-Muhtaj oleh ar-Ramli dan Zad al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj oleh Abdullah bin Hasan Ali Hasan al-Kuhaji.
Kedudukan Kitab al-Umm Berbanding Kutub al-Tis’ah
al-Syafi-‘i tidak hanya berperanan dalam bidang fiqh dan ushul fiqh saja, tetapi ia juga berperanan dalam bidang hadits dan ilmu hadits. Salah satu kitab hadits yang masyhur pada abad kedua Hijriyah adalah kitab Musnad al-Syafi’i. Kitab ini tidak disusun oleh al-Syafi’i sendiri, melainkan oleh pengikutnya, yaitu al-A’sam yang menerima riwayat dari Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi, dari al-Syafi’i. Hadits-hadits yang terdapat dalam Musnad al-Syafi’i merupakan kumpulan dari hadits-hadits yang terdapat dalam kitabnya yang lain iaitu al-Umm. Dalam bab jual beli, misalnya terdapat 48 buah hadits.
Dengan kegigihannya dalam membela hadits Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam sebagai hujjah, al-Syafi’i berhasil menegakkan autoriti hadits dan menjelaskan kedudukan dan fungsi hadits Nabi secara jelas dengan alasan-alasan yang mapan. Dengan pembelaannya itu, ia memperolehi pengakuan dari ummah sebagai Nasir al-Sunnah. Bahkan beliau dipandang sebagai ahli hukum Islam pertama yang berhasil merumuskan konsep ilmu hadits.
Hadits Nabi menurut al-Syafi’i bersifat mengikat dan harus ditaati sebagaimana al-Qur’an, walaupun hadits itu adalah hadits Ahad. Bagi ulama sebelumnya, konsep hadits tidak hanya disandarkan kepada Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam, bahkan juga pendapat sahabat, fatwa tabi’in, serta ijma ahli Madinah dapat dimasukkan sebagai hadits. Bagi al-Syafi’i, pendapat sahabat dan fatwa tabi’in hanya boleh diterima sebagai dasar hukum sekunder, dan bukan sebagai sumber primer. Sedangkan hadits yang boleh diterima sebagai dasar hukum primer hanyalah yang datang dari Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam.
Tambahan;
Kitab al-Umm telah diterjemahkan dalam bahasa Indonesia oleh Prof. Teuku H. Ismail Yakub SH, MA . Telah diterbitkan dalam 11 buku.
Terjemahan Ringkasan Kitab al-Umm telah diterbitkan oleh Pustaka Imam Asy-Syafi’I, Indonesia. Ia merupakan terjemahan Mukhtashar Kitab al-Umm Fi al-Fiqh , yang diringkaskan oleh Husain Abdul Hamid Abu Nashir Nail.